|
Majlis berbuka puasa pelajar-pelajar Malaysia bersama masyarakat tempatan, bacaan Yassin dan doa selamat sempena Kemerdekaan Malaysia-53.
Alhamdulillah Majlis Iftar anjuran Malaysian Students Department (MSD) Perth dan Persatuan–persatuan Pelajar Malaysia di Perth telah dilangsungkan dengan jayanya pada 28 Ogos 2010 di Masjid Al–Majid, Hepburn. Majlis yang julung-julung kali diadakan oleh MSD ini telah dihadiri oleh lebih 250 pelajar dan juga masyarakat setempat. Selain daripada untuk menyemarakkan lagi sambutan Ramadhan pada tahun ini, antara lain tujuan majlis ini adalah untuk menyediakan satu platform kepada pelajar-pelajar Malaysia di Perth untuk mengenali dan beramah mesra dengan penduduk Melayu tempatan yang beragama Islam. Gotong royong persiapan majlis telah dihadiri oleh beberapa ahli MyPSA–WA dan juga AJK Masjid Al–Majid selepas solat Zohor. Terima kasih diucapkan kepada semua yang terlibat dalam kerja- kerja menaikkan khemah, menyusun meja dan kerusi, serta memasang peralatan keperluan majlis.  Majlis dimulakan dengan bacaan Yassin dan doa selamat bersempena ulang tahun Kemerdekaan Malaysia yang ke–53. Pihak AJK masjid yang berbesar hati menerima kehadiran para pelajar telah menjemput Saudara Mohd Nazri Kama, Biro Kerohanian MyPSA–WA untuk mengetuai bacaan Yassin dan doa selamat. Majlis diteruskan dengan berbuka puasa sejurus selepas mantan Presiden MyPSA-WA, Saudara Ahmad Fareed Ismail melaungkan azan Maghrib. Seterusnya, sekali lagi pihak AJK Masjid menjemput ahli MyPSA-WA, Saudara Muhammad Izzuddin Mohamad Adi untuk mengimamkan solat Maghrib. Selesai solat, jamuan makan malam disediakan untuk para tetamu. Kemeriahan dan keakraban jelas kelihatan di mana para hadirin saling tegur menegur dan bertanya khabar antara satu sama lain. Consul-General of Malaysia di Perth, Puan Hamidah Ashari juga tidak melepaskan peluang beramah mesra dengan para hadirin ditemani pegawai-pegawai beliau. Majlis diteruskan dengan solat Isya’ dan solat terawih.

MyPSA-WA mengambil kesempatan ini mengucapkan ribuan terima kasih kepada Pegawai MSD di Perth En Rudy Adrie Hj Idris kerana memberi peluang kepada MyPSA-WA terlibat dalam penganjuran majlis yang sungguh bermakna ini. Sekian. Terima kasih. “Bersama-sama Kita Kukuhkan MyPSA-WA” |
|
|
Assalamualaikum & Salam Sejahtera
Bengkel Bahasa Inggeris (English Workshop) yang pertama kalinya dianjurkan oleh MyPSA telah berjaya dilaksanakan pada 21 Ogos 2010 di Brodie Hall, Curtin University. Bengkel yang diwujudkan khas bagi membantu ahli-ahli meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris ini telah membincangkan isu-isu menarik berkaitan kaedah penulisan yang berkesan, tip-tip penggunaan ‘tenses’ yang sesuai serta mempelajari struktur ayat yang tepat dalam penulisan. Secara keseluruhannya, bengkel yang dihadiri seramai 22 orang peserta ini berjalan dengan lancar dan kesemua yang hadir berpuas hati dengan isi kandungan serta penyampaian bengkel yang telah diberikan.
Sehubungan dengan itu, pihak MyPSA mengucapkan ribuan terima kasih kepada saudari Wahiza Wahi di atas kesudian beliau meluangkan sedikit masa membantu MyPSA mengendalikan bengkel ini serta berkongsi kepakaran dengan ahli yang lain. Terima kasih juga diucapkan kepada semua peserta yang telah hadir menjayakan dan menceriakan bengkel ini. InsyaAllah, jika berkesempatan, bengkel seperti ini akan diadakan lagi di masa-masa akan datang.

 Sekian. Terima kasih.
“Bersama-sama Kita Kukuhkan MyPSA-WA”
Laporan oleh:
Sariati Azman
Biro Pendidikan
MyPSA-WA 2010/2011
|
|
Program-program Kerohanian |
|
Laporan Program Solat Hajat, Bacaan Yassin dan Doa Selamat anjuran MyPSA-WA Program ini telah diadakan pada hari Sabtu, 17hb Julai 2010 yang lalu bertempat di Musolla Curtin. Ianya dijalankan sejurus selepas solat isyak secara berjamaah bersama-sama dengan pelajar muslim di Curtin. Terdapat lebih kurang 30 wakil keluarga yang telah hadir bagi menjayakan program ini. Program dimulakan dengan Solat Hajat secara berjamaah yang dipimpin oleh Saudara Mohd Kameil Abdul Hamid diikuti dengan Bacaan Yassin dan Doa Selamat pula dipimpin oleh Saudara Mohd Nazri Kama selaku Biro Kerohanian MyPSA-WA. Selepas itu, semua wakil keluarga bersama-sama dengan AJK MyPSA-WA menikmati sedikit jamuan ringan yang dibuat secara potluck. Ada di antara ahli yang mencadangkan agar program ini dibuat secara berkala bagi mengeratkan lagi ukhuwah sesama ahli MyPSA-WA.
Laporan Program Ceramah Sempena Sambutan Ramadhan Al-Mubarak 1431H Program ini telah diadakan pada hari Sabtu, 7hb Ogos 2010 yang lalu bertempat di Rumah Kediaman Pegawai Malaysian Student Department (MSD) Adross, Perth. Ianya bertujuan untuk meraikan kedatangan Bulan Ramadhan Al-Mubarak 1431H serta mengeratkan ukhuwah kekeluargaan di kalangan ahli-ahli MyPSA-WA. Al-fadhil Ustaz Ahmad Sabri dari Malaysia Student Department (MSD), Sydney telah dijemput untuk memberikan pengisian selama satu jam setengah dan kemudian diikuti dengan sesi soal jawab. Dianggarkan seramai 50 ahli MyPSA-WA bersama-sama dengan beberapa orang pegawai Konsulat turut serta di dalam program ini. Kandungan ceramah ini boleh didapati dengan memuat turun fail ini. Klik sini untuk gambar program. Laporan Program Kutipan Sedekah Iftar Ramdhan 1431H untuk Surau UWA, Curtin dan Murdoch Program ini telah dilancarkan beberapa hari sebelum kedatangan Bulan Ramadhan 1431H. Program ini telah berjaya mengumpulkan wang sedekah sebanyak $1240 dari ahli MyPSA-WA. Wang sedekah ini telah disalurkan kepada wakil MyPSA-WA (Biro Kerohanian) secara alihan wang melalui bank dan juga secara terus kepada biro kerohanian. Wang ini telah diagih-agihkan mengikut kesesuaian keadaan surau-surau tersebut. Sekian. Terima kasih. “Bersama-sama Kita Kukuhkan MyPSA-WA” Laporan oleh: Biro Kerohanian, MyPSA-WA Sessi 2010/2011.
|
|
Majlis Dialog Bersama YBhg. Tun Dr. Mahathir Mohamad dengan Pelajar-Pelajar Malaysia di Perth, WA |
|

Pada 20 Julai 2010 bertempat di Konsulat Jeneral Malaysia Perth, YBhg. Tun Dr. Mahathir Mohamad dan YBhg. Tun Dr. Siti Hasmah Mohd Ali meluangkan masa lebih kurang 2 jam bertemu dengan 30 orang pemimpin pelajar. YBhg. Tun Dr. Mahathir Mohamad dan isteri tiba pada jam 3.00 petang bersalaman dengan tetamu yang hadir dan seterusnya memberi ucaptama di Bilik Mesyuarat. Selepas ucaptama disampaikan, para pelajar diberi peluang untuk berdialog membincangkan isu-isu semasa. Majlis berkenaan berakhir jam 5.00 petang. |
|
Assalamualaikum & Salam Sejahtera
Teman-teman MyPSA-WA sekalian,
MyPSA-WA ingin merakamkan ucapan terima kasih dan selamat maju jaya kepada teman-teman kita yang telah pulang ke tanahair untuk meneruskan perjuangan di Malaysia. Sekalung penghargaan diucapkan kepada mereka yang telah bersama-sama menyokong, mendokong dan membantu MyPSA-WA selama ini.
Antara mereka yang telah berangkat pulang dalam masa terdekat ini ialah:
1. Shariff Che Ibrahim & Nur Aziah Yahya (Curtin) 2. Norhani Aripin & Shahrol Azman Ahmad (Curtin) 3. Nashrah Maamor (UWA) 4. Sabrina Ahmad & Mohd Akhtar Ab Karim (UWA) Diharapkan jalinan KEKELUARGAAN KITA akan terus bersemi walaupun direntasi lautan dan jarak yang beribu batu. Selamat maju jaya...
Daripada, Saf Pimpinan MyPSA-WA 2010 / 2011
|
|
Nasib Tidak Menyebelahi Senior FC |
|
Tanggal 26 Jun 2010 menyaksikan pertembungan dua generasi yang berbeza. Senior vs Junior.. Jika diukur melalui perbezaan umur, ternyata pasukan Junior FC mempunyai kelebihan. Namun begitu, berbekalkan pengalaman, pasukan Senior FC tidak mudah mengalah. Saingan sengit diberikan pemain-pemain Senior FC sebelum tumpas 2-3 di tangan Junior FC. Junior FC mendahului hasil jaringan Abdul Qayyum seawal minit ke 15 menjadikan kedudukan 1-0. Serangan demi serangan dilakukan oleh Senior FC untuk menyamakan kedudukan. Usaha Senior FC berhasil apabila Azhar 'Maradona' merembat dari tengah padang untuk gol penyamaan menjadikan kedudukan 1-1. Senior FC mendahului Junior FC 2-1 pada separuh masa kedua hasil jaringan Zaiham 'Podolski' pada minit ke 50. Tersentap dengan jaringan tersebut, Junior FC menggandakan usaha mencari gol dan hasilnya pada minit ke 70, Abdul Qayyum sekali lagi menjadi penjaring apabila menyamakan kedudukan 2-2..
Tatkala menghampiri penghujung permainan, Senior FC dikejutkan gol kemenangan pada minit ke 80 oleh Adam Suffian menyaksikan Senior FC tumpas 2-3 di tangan Junior FC. Biarpun tumpas, Senior FC tetap berpuas hati dengan keputusan tersebut. Ternyata nasib tidak menyebelahi Senior FC kali ini. Terima kasih diucapkan kepada kedua-dua pasukan kerana memberikan sokongan demi menjayakan acara anjuran MyPSA ini.
Senior F.C. Junior F.C Sekian, Biro Sukan & Rekreasi |
|
Assalamualaikum WBT dan salam muhibbah,
Academic Coffee Session (ACS) yang pertama untuk sesi tahun ini telah berjaya dilaksanakan pada 19 Jun 2010 (Sabtu) di Brodie Hall, Curtin University. Majlis ilmu selama 2 ½ jam ini berjalan lancar dengan kehadiran dianggarkan seramai 30 orang. Tiga orang pembentang telah sudi membentangkan pengalaman masing-masing dan berkongsi ilmu kepada ahli yang hadir. Antara isu yang dibentangkan termasuk “My Diary”, “My Data Collection Experience” dan “English – A Need Analysis”.  Bersempena majlis ini juga, Biro Kebajikan, saudara Abdul Shahid, telah mengambil kesempatan menerangkan matlamat penubuhan tabung kebajikan MyPSA yang dikenali sebagai Tabung Dana Kebajikan MyPSA-WA (DAKAP). Tabung DAKAP dilancarkan dengan saudari Nor Hanani, selaku Bendahari MyPSA, menyerahkan AUD200 kepada Timbalan Presiden MyPSA, saudara Ahmad Hisham sebagai sumbangan daripada akaun MyPSA.
Selain daripada itu, hasil daripada sambutan yang menggalakkan terhadap isu yang dibentangkan oleh pembentang ketiga, saudari Wahiza Wahi, terdapat permintaan daripada ahli yang hadir untuk mewujudkan satu ‘English Workshop” kepada sesiapa yang berminat. Buat masa ini, MyPSA sedang memperhalusi pelaksanaan program ini. Oleh itu, kepada mereka yang berminat untuk meningkatkan mutu penguasaan bahasa inggeris, nantikan pengumuman daripada MyPSA dalam waktu terdekat ini.
Akhir kata, Biro pendidikan mengucapkan terima kasih semua ahli yang hadir serta semua AJK yang terlibat menjayakan majlis ini. Tidak lupa diucapkan ribuan terima kasih kepada saudari Norhani Aripin (Curtin University), saudari Haryanni Harun (UWA) dan saudari Wahiza Wahi (UWA) atas perkongsian ilmu dan pengalaman berguna mereka yang pastinya bakal dimanfaatkan oleh setiap ahli yang hadir.
p/s: Klik sini untuk gambar.
Sekian,
Sariati Azman
Wakil Sementara (Biro Pendidikan) |
|
|
|
|