Tazkirah
27 Ogos 2010 PDF Print

 

Nuzul Al-Quran

Oleh: Dr. Samsu Adabi Mamat
Jabatan Pengajian Arab dan Tamadun Islam , Universiti Kebangsaan Malaysia


Peristiwa nuzul al-Quran menjadi satu rakaman sejarah dalam kehidupan Nabi SAW hingga seterusnya berperingkat-peringkat menjadi lengkap sebagaimana kitab al-Quran yang ada pada kita hari ini. Peristiwa Nuzul al-Quran berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadan, tahun ke-41 daripada keputeraan Nabi Muhamad SAW. Perkataan ‘Nuzul’ bererti turun atau berpindah dari atas ke bawah. Bila disebut bahawa al-Quran adalah mukjizat terbesar Nabi SAW maka ianya memberi makna terlalu besar kepada umat Islam terutamanya yang serius memikirkan rahsia al-Quran.


‘Al-Quran’ bererti bacaan atau himpunan. Di dalamnya terhimpun ayat yang menjelaskan pelbagai perkara meliputi soal tauhid, ibadat, jinayat, muamalat, sains, teknologi dan sebagainya. Kalimah al-Quran, sering dicantumkan dengan rangkai kata ‘al-Quran mukjizat akhir zaman’ atau ‘al-Quran yang mempunyai mukjizat’. Malah inilah sebenarnya kelebihan al-Quran tidak ada satu perkara pun yang dicuaikan atau tertinggal di dalam al-Quran. Dengan lain perkataan segalanya terdapat di dalam al-Quran. Firman Allah:

Dan tidak seekor pun binatang yang melata di bumi, dan tidak seekor pun burung yang terbang dengan kedua sayapnya, melainkan mereka umat-umat seperti kamu. Tiada Kami tinggalkan sesuatu pun di dalam kitab Al-Quran ini; kemudian mereka semuanya akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka (untuk dihisab dan menerima balasan). (Al-An’am:38)

al-Quran adalah hidayah, rahmat, syifa, nur, furqan dan pemberi penjelasan bagi manusia.. Segala isi kandungan al-Quran itu benar. Al-Quran juga dikenali sebagai Al-Nur bererti cahaya yang menerangi, al-Furqan bererti yang dapat membezakan di antara yang hak dan batil dan al-Zikr pula bermaksud yang member peringatan.

Dalam sejarah kehidupan Nabi SAW ayat al-Quran yang mula-mula diturunkan Allah kepada Nabi Muhammad SAW melalui perantaraan malaikat Jibrail ialah lima ayat pertama daripada surah Al-‘Alaq. maksudnya:

”Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhan mu yang menciptakan (sekalian makhluk), Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; Bacalah, dan Tuhan mu Yang Maha Pemurah, -Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, -Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.” (al-‘alaq:1-5)

 

Regards,

Nazri,

Biro Kerohanian,

MyPSA-WA Sessi 2010/2011

 
6 Ogos 2010 PDF Print

 

Assalamualaikum w.b.t,

Bulan Ramadhan merupakan bulan yang mempunyai banyak kelebihan. Kedatangannya selepas dua bulan yang juga tidak kurang keistimewaannya iaitu Rejab dan Sya'ban. Bagi tujuan menyuburkan rasa tanggungjawab dan rasa ingin menambahkan ibadat kepada Allah sepanjang Ramadhan ini, di sini dibawa beberapa hadis yang menceritakan mengenai kelebihannya.

1. Abu Hurairah menyatakan : Telah bersabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud : Apabila telah tibanya Ramadhan, dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup segala pintu neraka dan diikat segala syaitan.

(Hadis dikeluarkan oleh Imam Bukhari, Muslim, Nasai'e, Ahmad dan Baihaqi)

2. Daripada Abu Hurairah daripada Rasulullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud: Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan nescaya akan diampuninya segala dosanya yang telah lalu.

(Diriwayat oleh imam Nasai'e, Ibn majah, Ibn Habban dan Baihaqi)

3. Abu Hurairah telah berkata : Aku telah mendengar Rasulullah S.A.W bersabda tentang Ramadhan yang bermaksud : Sesiapa yang mendirikannya(Ramadhan) penuh keimanan dan keikhlasan diampunkan baginya apa dosanya yang telah lalu.

(Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Tarmizi, Abu Daud, Nasai'e,Malik,Ahmad dan Baihaqi)

4. Daripada Abu Hurairah telah berkata: Rasulullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud: Sembahyang yang difardhukan kepada sembahyang yang sebelumnya merupakan penebus apa antara keduanya, dan Jumaat kepada Jumaat yang sebelumnya merupakan penebus apa antara keduanya, dan bulan kepada bulan(iaitu Ramadhan) merupakan kaffarah apa antara keduanya melainkan tiga golongan : Syirik kepada Allah, meninggalkan sunnah dan perjanjian (dilanggar). Telah berkata Abu Hurairah : Maka aku tahu perkara itu akan berlaku, maka aku bertanya: Wahai Rasulullah! adapun syirik dengan Allah telah kami tahu, maka apakah perjanjian dan meninggalkan sunnah? Baginda S.A.W bersabda : Adapun perjanjian maka engkau membuat perjanjian dengan seorang lain dengan sumpah kemudian engkau melanggarinya maka engkau membunuhnya dengan pedang engkau, manakala meninggal sunnah maka keluar daripada jamaah(Islam).

( Hadis riwayat Ahmad, Al-Hakim, dan Baihaqi)

5. Daripada Abi Soleh Az-zayyat bahawa dia telah mendengar Abu Hurairah berkata: Rasulullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud : Setiap amalan anak Adam baginya melainklan puasa maka ia untukKu dan Aku akan membalasnya. Dan puasa adalah perisai, maka apabila seseorang berada pada hari puasa maka dia dilarang menghampiri(bercumbu) pada hari itu dan tidak meninggikan
suara.Sekiranya dia dihina atau diserang maka dia berkata : Sesungguhnya aku berpuasa demi Tuhan yang mana diri nabi Muhammad ditanganNya maka perubahan bau mulut orang berpuasa lebih harum di sisi Allah pada hari qiamat daripada bau kasturi, dan bagi orang berpuasa dua kegembiraan yang mana dia bergembira dengan keduanya apabila berbuka dia bergembira dengan waktu berbukanya dan apabila bertemu Tuhannya dia gembira dengan puasanya.

(Hadis riwayat Imam Bukhari, Muslim, Nasai'e, Ahmad, Ibn Khuzaimah, Ibn Habban dan Baihaqi)

Biografi
1. Kitab Fadhailul Awqat oleh imam Al-Baihaqi,ditahqiq oleh Adnan Abdul Rahman MajidAl-Qaisi,Maktabah Al-Mnarah,Makkah.
2. Fathul Bari syarah sohih Bukhari oleh Ibn Hajar Al-'Asqalani
3. Syarah sohih Muslim oleh imam An-Nawawi.

Regards,
Nazri.
Biro Kerohanian,
MyPSA-WA Sessi 2010/2011
 

 
23 Julai 2010 PDF Print

Ilmu Seperti Air Hujan

 

Dari Abu Musa Al-Asy'ari r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: "Bandingan apa yang Allah utuskan aku membawanya dari hidayat petunjuk dan ilmu pengetahuan,  adalah sama seperti hujan lebat yang menimpa bumi, maka terdapat sebahagian dari bumi itu tanah yang subur, yang menerima dan menyedut air hujan itu, lalu menumbuhkan rumput dan tumbuh-tumbuhan yang banyak dan terdapat sebahagian daripadanya tanah-tanah yang keras yang hanya menampung air (tidak menyedutnya) , maka Allah menjadikan dia bermanfaat kepada manusia,  lalu mereka minum dan memberi minum serta mereka menanam (dan menjirus tanaman mereka); dan terdapat pula sebahagian daripadanya tanah-tanah yang lain, yang keadaannya hanyalah tanah-tanah rata yang keras yang tidak lekat air (sedikit pun), dan tidak dapat menumbuhkan rumput. Demikianlah orang yang mempunyai fahaman yang teliti dalam hukum-hukum agama Allah dan (bandingan orang) yang beroleh manfaat dari apa yang Allah utuskan aku membawanya, lalu ia mengetahuinya dan mengajarkannya kepada orang lain dan juga bandingan orang yang tidak hiraukan langsung (ilmu yang aku sampaikan) itu dan tidak mahu pula menerima pertunjuk Allah yang aku diutuskan membawanya." (Riwayat Bukhari, Muslim dan Nasai')

Hadis yang kedua puluh lima ini menerangkan:

Kelebihan orang yang mengambil dan memberi manfaat dengan ilmu agama dan orang yang sebaliknya.Rasulull ah s.a.w. diutuskan untuk membawa jalan pimpinan dan pertunjuk serta ilmu pengetahuan kepada umat manusia. Apa yang dibawa oleh Baginda itu bukan semua orang menerimanya dan bukan semua menolaknya. Untuk menjelaskan hal yang demikian Baginda membuat perbandingan yang bermaksud:

Hati manusia dengan ilmu pengetahuan adalah ibarat bumi dengan air. Ada sebahagian dari bumi yang tanahnya apabila ditimpa hujan ia menyedutnya dan menumbuhkan tanaman yang berguna kepada makhluk-makhluk yang hidup. Demikian juga halnya hati manusia,  ada di antaranya yang menerima ilmu dan menghafaznya serta ia menerima kesan dan pengaruh ilmu itu, yang menjadikan dia beramal dengannya dan mengajarkannya kepada orang lain. Hati manusia yang sedemikian ini adalah sebaik-baik hati yang berhak dipuji dan dihormati.

Ada pula sebahagian dari bumi yang tanahnya apabila ditimpa hujan ia akan menampung airnya dan memeliharanya dari meresap hilang dan dengan itu dapat digunakan oleh makhluk-makhluk yang lain, tetapi tanah itu sendiri tidak mendapat manfaat daripadanya dan tidak menumbuhkan tanaman;  ia hanya dapat menumpang air untuk faedah makhluk-makhluk yang memerlukannya. Demikian juga halnya hati manusia, ada di antaranya yang menerima ilmu pengetahuan dan menghafaznya dan dapat pula mengajarkannya kepada orang lain, tetapi ia sendiri tidak mendapat faedah beramal dengannya. Manusia yang hatinya demikian kalau ia telah berbuat baik dari segi menghafaz dan menyampaikannya kepada orang lain, tetapi ia telah melakukan perkara yang buruk,  kerana ia tidak beramal dengannya, sedang tujuan beroleh ilmu ialah untuk beramal menurutnya.

Di antaranya ada pula bumi yang tanahnya tidak beroleh faedah dari air dan tidak dapat menahannya serta tidak dapat menumbuhkan sebarang tanaman.  Demikianlah pula hati manusia ada di antaranya yang tidak dapat menerima ilmu pengetahuan dan dengan itu tidak dapat beramal dengannya. Hati manusia yang demikian keadaannya adalah sejahat-jahat hati dan seburuk-buruknya, kerana ia tidak mempunyai bahagian langsung dalam kebaikan,  sama ada ilmu pengetahuan atau amal perbuatan,  bahkan ia seperti haiwan,  bahkan haiwan pun lebih baik lagi, kerana haiwan itu tidak akan mendapat balasan seperti yang akan didapati oleh manusia yang demikian keadaannya.

Kesimpulannya, hati manusialah yang wajib dibaiki supaya senang menerima apa yang telah dibawa oleh Rasulullah s.a.w. demi untuk mencapai kebahagiaan.

Nazri,

Biro Kerohanian,

Sessi 2010/2011.

 
16 Julai 2010 PDF Print

 

Assalamualaikum w.b.t,

 

Daripada Jabir Bin Abdullah r.a berkata: Saya pernah dengar Rasulullah S.A.W bersabda :

 

Sesungguhnya anak Adam itu sentiasa dalam lalai tentang apa yang dijadikan Allah baginya. Sesungguhnya ketika ia dicipta oleh Tuhan, berkata Tuhan kepada Malaikat : Catitkanlah rezekinya! Catitkanlah jalan hidupnya! Catitkanlah ajalnya! Catitkanlah sama ada kesudahannya celaka atau bahagia! Sesudah menjalankan tugas, Malaikat itu pun kembali.          

 

Kemudian ditugaskan dua Malaikat pula untuk menuliskan semua kebajikan dan kejahatan orang itu seumur hidupnya. Apabila ia menemui ajalnya (mati) kedua Malaikat tadi pun berangkat kembali. Lalu ditugaskan oleh Allah Malakul-maut (Izrail) untuk mengambil nyawanya. Setelah selesai dikuburkan, rohnya dikembalikan ke jasad. Ketika itu tibalah dua Malaikat lain (Munkar dan Nakir) untuk menyoalnya. Setelah selesai disoal, keduanya pun kembalilah.

           

Apabila tiba saat (Hari Kiamat) masing-masing Malaikat yang menulis kebajikan dan yang menulis kejahatan itu turun semula dengan sebuah buku catitan, lalu buku catitan itu digantungkan di leher orang itu, yang satu sebagai pemimpin dan yang satu lagi sebagai penyaksi. Kemudian Rasulullah s.a.w bersabda lagi : Sesungguhnya suatu perkara besar sedang menanti kamu di hari muka, yang mana kamu tiada tertanggung olehnya, maka hendaklah kamu memohon pertolongan Allah yang Maha Agung.

           

Hadis ini dicatit oleh Al-Hafih As-Sayuthi rahimahullah di dalam kitabnya Syarhus-Shudur, yang menurutnya telah dikeluarkan oleh Ibnu Abid-Dunya dan Abu Nu’aim.

 

 

Nazri.
Biro Kerohanian
MyPSA-WA Sesi 2010/201
1

 

 
18 Jun 2010 PDF Print

 

Assalamualaikum w.b.t,

"Maka apabila kamu telah menyelesaikan solat, maka ingatlah (zikir) kepada Allah pada masa berdiri, pada masa duduk dan pada masa berbaring." (An-Nisa' : 103)

Hadith qudsi:
"Aku (Allah) bersamanya (hamba-Ku) apabila dia berzikir kepada-Ku. Maka jika ia mengingati aku di dalam hatinya, nescaya Aku ingat pula kepadanya dalam diri-Ku. Dan jika ia berzikir kepada-Ku secara berjemaah, nescaya Aku ingat kepadanya dalam kelompok jemaah yang lebih baik daripada mereka" (Bukhari)

Sabda Baginda saw:
"Tiadalah suatu kaum duduk berzikir kepada Allah pada suatu majlis melainkan malaikat mengelilingi mereka dan rahmat meliputi mereka, dan Allah mengingati mereka sebagai orang-orang yang dekat di sisinya." (Muslim)

Sabda baginda dalam hadith yang lain:
"Apabila kamu melewati kebun syurga, maka berkeliaranlah di situ."

Para sahabat berkata: "Apakah kebun syurga itu ya Rasulullah??"
Rasulullah saw bersabda: "Majlis zikir." (Dipetik daripada kitab al-Adzkar oleh Imam Nawawi)

Biro Kerohanian,
MyPSA Sessi 2010/2011.

 
More Articles...
<< Start < Prev 1 2 Next > End >>

Page 1 of 2